Sunday, November 20, 2011

Kayuhan offroad ke Air Terjun Papan

Pada hari Ahad yang lalu, aku telah mengikuti ayahku berbasikal ke Air Terjun Papan. Aku bertolak ke sana seawal jam 7:30 pagi. Jarak kayuhan pada kali ini ialah 23 kilometer pergi dan balik. Air Terjun Papan terletak di dalam hutan simpanan Papan, Pusing. Di situ juga terdapat Taman Herba Papan.

Semasa dalam perjalanan ayahku telah berhenti di Pekan Pusing untuk membeli nasi lemak sebagai bekalan makanan di Air Terjun Papan. Air Terjun Papan sungguh jernih, namun tidak ramai yang melawatnya kerana airnya cetek. Menurut ayah, pada zaman dahulu hutan ini pernah menjadi kawasan komunis. Patutlah, di kawasan berhampiran, terdapat deretan rumah kedai usang dan kubur cina.

Kami tidak melalui jalan yang bertar sebaliknya menggunakan jalan tanah merah melalui kawasan pertanian yang berlopak dan berbukit. Aku dapat melihat pelbagai jenis tanaman disepanjang perjalanan kami, antaranya ialah pokok pisang, jagung dan cepedak. (tengok pada gambar yang kelapan)
Malang menimpa diriku kerana aku tidak melakukan senaman mamanaskan badan sebelum membuat kayuhan. Kakiku berasa sangat lenguh dan terpaksa menolak basikalku apabila mendaki bukit yang pertama. Setelah berehat seberapa ketika, aku dapat meneruskan kayuhan seperti biasa.

Setelah berhempas-pulas memerah tenaga, akhirnya sampai juga aku ke Air Terjun Papan. Airnya sungguh sejuk dan jernih. Tanpa berlengah lagi aku terus makan nasi lemak yang kami beli tadi. Aku terpandang seketul batu besar yang terletak di bahagian tengah sungai. Malang tidak berbau sewaktu aku cuba untuk ke sana, kasutku terkena air. Lalu aku membuka kasutku dan menjemurnya. Setelah itu aku pun terus mandi dengan riang sekali.

Aku sangat gembira kerana dapat berkayuh basikal ke Air Terjun Papan. Aku berharap dapat berkayuh ke sana sekali lagi, InsyaAllah. Pengajaran daripada kayuhan pada kali ini ialah, kita mestilah melakukan senaman memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti fizikal.














Saturday, November 19, 2011

Kayuhan Mee Kicap, Lengkuas

Pada hari sabtu yang lalu, seawal jam 6:00 pagi, ayahku telah mengjutkanku daripada tidur. Ayah memberitahuku bahawa dia hendak membawaaku ke Lengkuas. Setelah selesai solat subuh dan menyiapkan peralatan untuk berkayuh, aku melakukan  senaman regangan untuk memanaskan badan.

Kayuhan pada kali ini merupakan kayuhan yang pertama bagi aku mengayuh lebih daripada 10 km. Jarak kayuhan ke Lengkuas ialah 26 kilometer pergi dan balik. Jalan lama ke Lengkuas tidak bertar, berlopak dan berbukit.

Setibanya di Lengkuas aku bersarapan bihun kicap dan minum teh o ais di Restoran Tunggu Sekejap. Ini adalah kali pertama aku bersarapan bihun kicap. Setelah habis makan, ayah memberikanku wang berjumalah 10 ringgit Malaysia untuk membayar makanan.  Selepas itu kami memulakan kayuhan untuk pulang ke rumah di mana jaraknnya adalah 13 km.

Di sepanjang perjalanan, aku mendapat banyak pengajaran. Antaranya ialah tidak boleh berhenti di tengah jalan, jangan naikkan gear belakang sewaktu mendaki bukit dan jangan brek di jalan selekoh. Aku berharap tidak akan melakukan kesalahan ini lagi.

Aku sangat berpuas hati akan kayuhan aku ke Lengkuas. Aku berjaya mencatatkan kelajuan 17 kilometer per jam. Aku berharap dapat memperbaiki kelemahan aku.













Friday, November 18, 2011

BASIKAL BARU AKU

Alhamdulillah, aku telah dimaklumkan bahawa aku akan dilantik sebagai ketua murid pada tahun depan. Ayah aku membelikan sebuah basikal berharga dua ribu ringgit Malaysia berjenama Merida. Aku sangat gembira dengan pemberian hadiah itu.

Setiap petang, aku berlatih mengayuh basikal di kawasan bukit berdekatan dengan rumah aku. Pada mulanya aku berasa sungguh penat. Masakan tidak, berjalan kaki mendaki bukit pun penat, apatah lagi menaiki basikal. Aktiviti ini sungguh menyeksakan. Hari demi hari, aku gigih berlatih selama satu jam. Lama kelamaan, aku berjaya mendaki bukit dengan menggunakan basikal.

Menunggang basikal semasa menuruni bukit agak merbahaya. Jika terlanggar kayu atau batu, kita boleh terjatuh dan mendapat kecederaan yang parah. Oleh sebab itulah aku menyarungkan kepala aku dengan topi keledar. Aku juga memakai sarung tangan basikal supaya tangan aku tidak kebas dan juga membawa lampu mudah alih ketika menaiki basikal pada waktu malam.

Pada bulan Disember ini, aku akan mengikuti jamboree bersama ayahku di Sungai Klah Hotspring, Sungkai, Perak. Jarak kayuhan jamboree tersebut adalah tiga puluh lima kilometer. Aku harap aku tidak akan menerima sebarang kecelakaan sepanjang kayuhan.

Aku sangat gembira kerana aku telah mendapat sebuah basikal yang bagus. Aku juga berharap basikal berjenama Merida itu akan membawa tuah kepadaku.