Semasa dalam perjalanan ayahku telah berhenti di Pekan Pusing untuk membeli nasi lemak sebagai bekalan makanan di Air Terjun Papan. Air Terjun Papan sungguh jernih, namun tidak ramai yang melawatnya kerana airnya cetek. Menurut ayah, pada zaman dahulu hutan ini pernah menjadi kawasan komunis. Patutlah, di kawasan berhampiran, terdapat deretan rumah kedai usang dan kubur cina.
Kami tidak melalui jalan yang bertar sebaliknya menggunakan jalan tanah merah melalui kawasan pertanian yang berlopak dan berbukit. Aku dapat melihat pelbagai jenis tanaman disepanjang perjalanan kami, antaranya ialah pokok pisang, jagung dan cepedak. (tengok pada gambar yang kelapan)
Malang menimpa diriku kerana aku tidak melakukan senaman mamanaskan badan sebelum membuat kayuhan. Kakiku berasa sangat lenguh dan terpaksa menolak basikalku apabila mendaki bukit yang pertama. Setelah berehat seberapa ketika, aku dapat meneruskan kayuhan seperti biasa.
Setelah berhempas-pulas memerah tenaga, akhirnya sampai juga aku ke Air Terjun Papan. Airnya sungguh sejuk dan jernih. Tanpa berlengah lagi aku terus makan nasi lemak yang kami beli tadi. Aku terpandang seketul batu besar yang terletak di bahagian tengah sungai. Malang tidak berbau sewaktu aku cuba untuk ke sana, kasutku terkena air. Lalu aku membuka kasutku dan menjemurnya. Setelah itu aku pun terus mandi dengan riang sekali.
Aku sangat gembira kerana dapat berkayuh basikal ke Air Terjun Papan. Aku berharap dapat berkayuh ke sana sekali lagi, InsyaAllah. Pengajaran daripada kayuhan pada kali ini ialah, kita mestilah melakukan senaman memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti fizikal.
No comments:
Post a Comment